
Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh menerima pengakuan bersalah Mohamad Safiq Rosli.
“Perbicaraan perlu diadakan,” katanya susulan bantahan awal oleh pihak pendakwa raya.
Safiq, 37, mohon dibicarakan ketika kali pertama didakwa tetapi menukar pengakuan kepada bersalah pada minggu lalu.
Sasha dijadual menjatuhkan hukuman pada hari ini.
Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas membantah pengakuan bersalah Safiq itu.
Katanya, laporan psikiatri dari Hospital Bahagia mendapati Safiq tidak waras ketika melakukan kesalahan tersebut.
“Dalam laporan yang sama, doktor juga mendapati tertuduh sihat untuk dibicarakan,” katanya.
Zilfinaz berkata Safiq mengalami satu penyakit mental ketika kesalahan itu dilakukan dan pengakuan bersalah yang dibuatnya adalah tidak dibenarkan oleh undang-undang.
Beliau yang dibantu Analia Kamaruddin, berkata kini Safiq perlu membuktikan bahawa dia mengalami masalah mental.
Peguam Safiq, Fithril Hakim Ab Jalil berkata mahkamah boleh memutuskan anak guamnya bersalah dan mengarahkan tertuduh ditempatkan di hospital kerana dia tidak waras.
“Tertuduh boleh ditahan sehingga mendapat perkenan raja-raja mengikut Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah dan mendapat rawatan di hospital. Tidak adil untuk tertuduh dibicarakan,” katanya.
Katanya, bantahan pihak pendakwaan adalah salah guna proses mahkamah.
“Mereka yang menghantar anak guam saya untuk penilaian psikiatri dan hari ini menolak laporan itu,” katanya.
Safiq didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 1.40 pagi, 15 Julai lalu hingga 5.58 petang, 21 Julai melalui X (dulu dikenali sebagai Twitter) walaupun sedar perbuatan itu boleh menimbulkan ketakutan terhadap Acacia Mardiana Daud, 31.
Safiq adalah individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan. Dia ditahan sejak Ogos lalu kerana gagal membayar ikat jamin RM20,000.