Covid-19: Johor galak imam, jemaah ambil dos penggalak ke-3

Covid-19: Johor galak imam, jemaah ambil dos penggalak ke-3

Exco hal ehwal Islam negeri berkata ia sebagai menyokong saranan KKM.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Mohd Fared Mohd Khalid, berkata jemaah juga digalak mengambil dos penggalak ketiga, selain imam dan bilal.
BATU PAHAT:
Imam, bilal, dan jemaah masjid di Johor digalakkan mengambil suntikan dos penggalak susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Mohd Fared Mohd Khalid, berkata langkah itu bagi menyekat penularan wabak itu sekali gus menyokong saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19.

Beliau berkata, tindakan menyekat penularan wabak berkenaan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan tertentu sahaja sebaliknya perlu dilakukan semua pihak.

“Sebabnya jika golongan tertentu seperti hanya imam dan bilal yang ambil suntikan ini tetapi jemaah tidak, itu yang merisaukan kita.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin mengambil suntikan berkenaan perlulah terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor mengenai status kesihatan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Projek Skim Perumahan Asnaf, Projek Baiti Jannati Wakalah Zakat Perniagaan JCorp di Kampung Peserai Kecil.

Isnin lalu, Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon, berkata kes Covid-19 di Johor menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dengan 401,886 kes dilaporkan sehingga Sabtu (16 Dis).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.