Majistret kesal tertuduh kes hendap gagal dibawa ke mahkamah

Majistret kesal tertuduh kes hendap gagal dibawa ke mahkamah

Kegagalan membawa tertuduh ke mahkamah menyebabkan hukuman terpaksa ditangguh ke esok.

Majistret menyifatkan proses permohonan perintah kehadiran Mohamad Safiq Rosli sebagai kes ‘terlepas pandang’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majistret kesal kerana tertuduh kes menghendap seorang jurugambar wanita gagal dibawa dari penjara ke mahkamah hari ini menyebabkan hukuman terpaksa ditangguh ke esok.

Majistret Sasha Diana Sabtu menyifatkan proses permohonan perintah kehadiran (OTP) tertuduh, Mohamad Safiq Rosli sebagai kes “terlepas pandang”, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memaklumkan tertuduh tidak dibawa dari penjara ke mahkamah.

“Mengikut jurubahasa, Safiq boleh dibawa pagi esok (ke mahkamah). Kami mohon prosiding ditangguh untuk fakta kes serta keputusan,” katanya menurut Berita Harian.

Sasha Diana berkata, beliau akan memanggil semula kes ini esok untuk hukuman terhadap tertuduh.

Safiq, 37, individu pertama didakwa atas kesalahan menghendap mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 507A (3) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Jumaat lalu, perunding pengurusan acara sambilan itu menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menghendap jurugambar wanita dengan menghantar gangguan berulang kali melalui aplikasi X.

Majistret menerima pengakuan salah tertuduh selepas laporan perubatan menyatakan Safiq layak dibicarakan dan membuat pengakuan.

Dia didakwa mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, melalui aplikasi itu atas nama akaun “@sopert99” dengan menghantar komunikasi berbentuk luahan perasaannya ke akaun mangsa “@ShaFoShizzle” yang dibaca di sebuah rumah di Shah Alam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.40 pagi 15 Julai dan 5.58 petang 21 Julai lalu sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.