Lebih 80,000 rakyat Malaysia kunjungi Thailand sejak Jumaat

Lebih 80,000 rakyat Malaysia kunjungi Thailand sejak Jumaat

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata ramai mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk mengunjungi Hatyai.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata sebanyak 78,301 pengembara keluar ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Lebih 80,000 pelancong negara ini mengambil peluang musim cuti sekolah untuk melawat dan bercuti ke Thailand dengan melalui dua pintu sempadan di negeri ini bermula Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata setakat ini sebanyak 78,301 pengembara keluar ke negara jiran itu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Katanya, sebanyak 4,379 pengembara pula melalui ICQS Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap.

“Kesesakan luar biasa berlaku di ICQS Bukit Kayu Hitam sejak semalam. Kesesakan ini berlaku disebabkan orang awam ingin menghabiskan masa cuti bersama keluarga (di Thailand).

“Destinasi pilihan pengembara ini adalah Hatyai yang menjadi syurga makanan untuk pelancong dari Malaysia yang dikatakan murah dan sedap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata imigresen sentiasa bersedia menguruskan pengembara yang melalui pintu sempadan negara dengan membuka empat hingga enam kaunter kenderaan bergantung kepada kesesakan semasa.

Ridzzuan berkata kesesakan di pintu sempadan negara juga dijangka akan terus meningkat sepanjang musim cuti sekolah ini dan cuti perayaan Krismas nanti.

“Justeru saya menasihatkan pengembara untuk merancang waktu perjalanan dan menyemak dokumen perjalanan terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.