
Adun Tanjung Aru itu mendakwa ramai pemilik restoran menyuarakan kebimbangan mereka selepas bergelut mendapatkan bekalan gula mencukupi bagi operasi harian mereka.
Beliau menyifatkan keadaan itu teruk dan berlaku secara mendadak, di mana pek standard gula putih 1kg yang berharga RM2.85 sukar diperolehi dan ini menimbulkan beberapa persoalan mengenai sebabnya.
“Jika ada, ia dijual pada harga RM4.50 di kedai runcit. Ini bukan sekadar isu bekalan, ia mengenai mata pencarian perniagaan tempatan.
“Keadaan itu melanda ekonomi tempatan, khasnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang banyak bergantung kepada gula untuk produk mereka,” katanya menurut Daily Express.
Wong menggesa langkah segera untuk menstabilkan bekalan gula di Kota Kinabalu dan melindungi kepentingan perniagaan serta pengguna tempatan.
“Keperluan untuk penyelesaian cepat dan cekap penting kerana masyarakat bergantung kepada bekalan barang keperluan ini. Kami berharap kerajaan akan campur tangan dan menangani krisis ini dengan berkesan.”