
Anak lelakinya yang juga pelajar Tingkatan Empat di kolej berkenaan, dikatakan diserang sekumpulan pelajar senior pada September lalu sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan groin.
Ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Puan F itu berkata, pelaku berkenaan masih belum didakwa di mahkamah bagi merusuh dan menyebabkan kecederaan walaupun empat bulan telah berlalu.
“Kenapa lama sangat? Bagaimana seorang DSP yang terlibat dalam kemalangan maut pelajar Tingkatan Lima baru-baru ini boleh didakwa dalam hanya empat hari?
“Kes kami begitu jelas, mereka mempunyai semua kenyataan, kenapa masih tertangguh?” katanya dengan menambah kelembapan dalam bertindak akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan.
Pelajar yang mencederakan anaknya itu dilaporkan menerima tiga sebatan rotan dan diarahkan melakukan khidmat masyarakat oleh pihak sekolah.
Puan F juga hairan apabila pelajar terlibat tidak dibuang sekolah walaupun sekolah itu mengamalkan ketat dasar ketat “you touch you go”.
Katanya, pertemuan dengan bekas timbalan menteri pendidikan yang sepatutnya diadakan bagi membincangkan kejadian itu, tidak berlaku.
“Saya faham ada rombakan Jemaah Menteri. Namun, tiada sesiapapun dari kementerian pendidikan yang datang menemui kami seperti dikatakan sebelumnya,” katanya.
Selain itu, Puan F dimaklumkan laporan perubatan anaknya dari Hospital Taiping akan mengambil sekurang-kurangnya dua bulan untuk diproses dan beliau menyifatkannya sebagai tidak munasabah.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menerusi peguam sebelum ini mengugut mengambil tindakan termasuk memperoleh injunksi serta memfailkan laporan polis terhadap sesiapa yang mengulas kejadian itu. Pihak PIBG turut menyelar keluarga Puan F kerana mengongsikan hantaran di media sosial mengenai kes itu yang dilihat mencemar nama baik kolej berkenaan.
FMT masih belum menerima maklum balas pengurusan MCKK berhubung isu itu.
Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kini dengan Pejabat Peguam Negara (AGC). Bagaimanapun, pegawai perhubungan awam AGC memaklumkan FMT bahawa “tiada maklumat “mengenai perkara itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh telah dihubungi untuk ulasan berhubung perkara ini.