Dasar Pandang ke Timur termasuk China, kata PM

Dasar Pandang ke Timur termasuk China, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun.

PM Anwar Ibrahim berada di Tokyo untuk lawatan kerja lima hari mulai 15 Dis bagi menghadiri sidang kemuncak meraikan ulang tahun ke-50 kerjasama Jepun-Asean. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi kini turut berminat untuk belajar dari China, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya kepada Asahi Shimbun Ahad lepas ketika berada di Tokyo untuk lawatan kerja.

Beliau merujuk kepada Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan perdana menteri keempat Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita sebut ‘Pandang ke Timur’, ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau, lapor akhbar Jepun itu.

Anwar berkata, teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.

Malaysia menyokong dasar luar yang “teguh dan bebas” dan beliau berkata, negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.

Anwar berkata, ketika beliau melawat Amerika Syarikat (semasa APEC 2023 baru-baru ini), beliau ditanya mengapa Malaysia terarah kepada China.

Beliau menjawab: “Kerana mereka melabur lebih banyak”.

Namun katanya, Malaysia akan tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.