Ayah sepatutnya jalani pembedahan kaki, kata anak M Daud Kilau

Ayah sepatutnya jalani pembedahan kaki, kata anak M Daud Kilau

Noraini Muhammad Daud berkata, pembedahan itu ditangguhkan susulan keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot.

Jenazah M Daud Kilau dibawa pulang ke kediamannya di Bagan Datuk, selepas urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah di Unit Perubatan Forensik Hospital Teluk Intan malam tadi. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Penyanyi legenda, M Daud Kilau yang meninggal dunia semalam, sepatutnya menjalani pembedahan kaki akibat jangkitan kuman, tetapi terpaksa ditangguhkan.

Anak sulungnya, Noraini Muhammad Daud, 58, berkata pembedahan itu ditangguhkan susulan keadaan kesihatannya semakin merosot akibat menghadapi pelbagai komplikasi penyakit, antaranya jangkitan kuman dalam darah, sakit jantung, kencing manis dan masalah buah pinggang.

“Arwah ayah sudah tidak sedarkan diri sejak pagi kelmarin dan doktor memang beritahu keadaan kesihatan arwah semakin merosot.

“Arwah ayah dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan (HTI) sejak Selasa lepas. Sepanjang berada di hospital, ada hari dia sedar, ada hari dia tak sedarkan diri, tetapi dalam keadaan dia sedar pun kita dah tak boleh faham apa yang dia cakap,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik HTI, di sini, semalam.

Noraini berkata, kira-kira 4.30 petang semalam, bapanya dalam keadaan tercungap-cungap dan ketika itu semua ahli keluarga berada di sisi semasa Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Allahyarham disahkan meninggal dunia 4.46 petang ketika menerima rawatan di HTI.

Noraini berkata, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di HTI sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk.

Isteri Allahyarham, Rohani Awang Ngah yang masih bersedih enggan ditemu bual media.

Penyanyi lagu malar segar “Che Mek Molek” itu pernah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis dan jantung tidak stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.