
“Keputusan muktamad terletak pada perdana menteri, kecuali perkara yang melibatkan prerogatif dan budi bicara diraja,” kata Wan Ahmad Fauzi Wan Husain daripada ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Seorang lagi pakar perlembagaan, Aziz Bari berkata, sistem raja berperlembagaan Malaysia meletakkan kuasa pada kerajaan, yang menjawab kepada Parlimen.
Wan Husain dan Aziz mengulas cadangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar Petronas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melapor terus kepada Agong.
Sultan Ibrahim, yang akan menjadi Agong tahun depan, memberikan pandangannya ketika membincangkan hasrat baginda untuk membanteras rasuah di negara ini.
Sebagai respons, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersedia membincangkan cadangan itu.
Philip Koh, profesor adjung undang-undang di Universiti Malaya berkata, isu penglibatan Agong dalam urusan eksekutif boleh menimbulkan kontroversi kerana ia boleh membabitkan institusi diraja dalam “urusan politik”.
“Isu lebih besar mengenai sama ada Agong patut terlibat secara langsung dalam badan penguatkuasaan eksekutif dan syarikat berkaitan kerajaan menimbulkan isu yang dipertikaikan, mengenai sama ada seorang pemerintah harus menceburi lapangan tersebut,” katanya.
“Perkara ini boleh membabitkan Agong dalam pertikaian politik atau situasi yang dianggap tidak sesuai untuk institusi raja berperlembagaan, yang lazimnya dijangka tidak mencampuri kepentingan politik dan partisan.”
Wan Ahmad berkata, tiada isu undang-undang akan timbul sekiranya agensi antirasuah dan syarikat petroleum negara melapor terus kepada Agong “selagi ia mengikut undang-undang”.
“Jika amalan baharu perlu diperkenalkan di luar skop Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, maka satu rang undang-undang mesti dibentangkan,” katanya.
Perlembagaan menetapkan bahawa Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau menteri yang bertindak bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali diperuntukkan sebaliknya.
Menurut Perlembagaan, Agong berhak mendapat sebarang maklumat mengenai kerajaan yang tersedia kepada Jemaah Menteri.
Aziz, seorang bekas pensyarah undang-undang berkata, Agong mempunyai hak, dan kewajipan, untuk membetulkan keadaan jika agensi tertentu tidak berfungsi dengan baik.
Bagaimanapun, Adun Tebing Tinggi itu mencadangkan bahawa Agong boleh campur tangan dalam “pengecualian” kepada doktrin pengasingan kuasa, bukannya melalui pengenalan peraturan baharu.