
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Katanya, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.
“Kita sedang menjalankan siasatan terhadap Papagomo berhubung hantaran video ‘live’ berdurasi 1 jam 32 minit dan 50 saat yang mengaibkan perdana menteri, video itu turut dimuat naik di YouTube dan masih boleh diakses,” katanya dalam kenyataan.
Rusdi berkata, kes masih di peringkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau komentar yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Polis mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang menggunakan platform media sosial untuk mengulas atau memanipulasi isu-isu sehingga menyentuh isu ketenteraman awam, prinsip moral, serta fitnah” katanya.