
“Kami diamanahkan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam terbaik. Inilah sebabnya kami perlu menyediakan perkhidmatan boleh diharap, menerusi usaha penambahbaikan setiap hari. Perkhidmatan kami perlu menepati masa, tanpa mengalami kerosakan,” katanya kepada FMT Business.
Menjadikan pengangkutan awam pilihan utama
Kajian terbaru Prasarana menunjukkan penggunaan pengangkutan awam kini sekitar 16%, membuktikan masih banyak perlu dilakukan bagi memenuhi sasaran 40% pengguna menjelang 2030.
“Kami ingin menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam, meyakinkan pengguna yang mereka akan tiba ke destinasi tepat pada masa. Itulah matlamat utama kami,” katanya.
Prasarana kini mencatatkan pencapaian positif dalam meningkatkan kekerapan perkhidmatannya.
September lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata perkhidmatan LRT beroperasi sekerap 3.8 minit semasa waktu puncak berbanding 4.4 minit sebelumnya. Ini dicapai menerusi tambahan tiga tren empat koc bagi laluan Kelana Jaya menerusi projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV 27).
“Selain itu, usaha penambahbaikan turut dibuat bagi laluan MRT Kajang, MRT sulung di negara ini. Sebanyak 36 tren dijangka beroperasi secara keseluruhan pada Januari 2024 dengan kekerapan setiap 4 minit,” kata Azharuddin.
Beliau berkata, penggunaan bas turun sebanyak 50% akibat pertambahan pemilikan kereta persendirian dan kurangnya bilangan penumpang selepas pandemik. Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, Prasarana akan meningkatkan bilangan basnya daripada 800 kepada 1,000 menjelang akhir tahun ini.
“Bas memberi kemudahan kepada pengguna untuk tiba ke destinasi akhir.
Operasi kami adalah berdasarkan permintaan. Bas dua tingkat digunakan untuk laluan yang ramai penumpang, manakala bas pengantara pula meningkatkan kekerapannya,” katanya.
Azharuddin mengakui, sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam belum mencapai tahap pengendali pengangkutan awam bertaraf dunia seperti Singapura dan Hong Kong.
“Kami sedang belajar daripada mereka yang pernah melalui cabaran sama sedekad lalu seperti meminimumkan kelewatan, memastikan akses, mengekalkan tambang berpatutan, melanjutkan masa operasi, mengendalikan kesesakan penumpang dan memperbaiki kepantasan perjalanan.
“Bagi saya, bukan setakat perkhidmatan rel dan bas perlu diperbaiki. Kita perlu tingkatkan kemudahan berkaitan termasuk menambah hentian bas dan siar kaki berbumbung. Semua ini penting bagi menjadikan pengangkutan awam kita bertaraf dunia dan memudahkan orang ramai berjalan ke punca transit terdekat,” katanya.
Laksana tindakan proaktif
Sejak dua tahun kebelakangan ini, Prasarana sentiasa mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas perlanggaran dua tren di laluan Kelana Jaya pada 24 Mei 2021.
Insiden berlaku antara lokasi stesen Kampung Baru dan KLCC itu melibatkan tren kosong dipandu secara manual dan tren automatik tanpa pemandu yang berpenumpang. Seramai 47 mangsa mengalami kecederaan serius.
Azharuddin yang mengambil alih tugas CEO daripada Nizam Alias dua bulan selepas itu berkata, Prasarana mengambil beberapa langkah wajar bagi mencegah insiden sedemikian berulang.
“Kami bertekad mengambil langkah proaktif. Keutamaan kami adalah keselamatan. Jika tidak mencapai standard tinggi yang ditetapkan, tren kami tidak akan beroperasi seperti berlaku di laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang,” katanya.
Dalam kejadian pada November 2022, 16 stesen di sepanjang laluan Kelana Jaya terpaksa ditutup selama seminggu akibat gangguan teknikal. Dua bulan kemudian, stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di laluan Ampang pula terpaksa ditutup. Ini disebabkan kerosakan struktur pada tiang jejambat berpunca daripada aktiviti pembinaan berhampiran yang turut mengakibatkan salah jajaran trek.
Azharuddin berkata, Prasarana akan menjalankan kerja penyelenggaran pencegahan bagi memastikan keselamatan penumpang dan kebolehpercayaan, serta kelancaran semua operasi perkhidmatannya.
“Jurutera kami kini dilatih dan mempelajari mengenai pelbagai komponen berbeza, mengikut cara berbeza. Kami sedang menubuhkan sebuah pusat penyelenggaraan dengan tumpuan utama terhadap data, bagi memastikan tren kami dapat bertahan lebih lama,” katanya.
Tingkat kesalinghubungan
Menurut Azharuddin, projek LRT3 yang kini berada pada tahap 90% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 Mac 2025 penting bagi meningkatkan kesalinghubungan.
LRT3 akan bersambung dengan laluan Kelana Jaya yang akan membawa penumpang ke KL Sentral.
Ia juga akan dihubungkan dengan laluan MRT Kajang di One Utama, memperluaskan lagi ekosistem pengangkutan dan akses kepada pelbagai destinasi.
Beliau turut mengalu-alukan peruntukan RM4.7 bilion disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2024 untuk LRT3. Dana itu membolehkan penambahan lima stesen dan penyediaan infrastruktur sokongan seperti sistem bekalan dan agihan tenaga, sistem komunikasi termasuk IT, peningkatan infrastruktur pengisyaratan dan komunikasi, pemilikan tanah, dan penyediaan lebih banyak bas pengantara.
Dana itu akan turut digunakan bagi tujuan pemasangan Platform Screen Door System (PSDS) di semua 25 stesen demi meningkatkan keselamatan penumpang seiring amalan rel moden bandar dan penyediaan sistem Automatic Fare Collection (AFC).
Azharuddin berkata, kepentingan MRT 3 memang tidak dapat disangkal.
“Laluan yang dicadangkan itu melalui kawasan padat penduduk. Ia melalui Hartamas, seterusnya ke Segambut dan Pandan, hingga ke Ampang dan beberapa kawasan lain di Kuala Lumpur.
“Perlukah ia disegerakan? Ya, jika mengikut perspektif pengangkutan awam, namun kami sedar yang ia bergantung kepada keputusan kerajaan, berdasarkan keadaan kewangannya,” katanya.
Prasarana sedang merancang untuk menaik taraf aplikasinya, Pulse, termasuk membolehkan penjejakan bas dengan lebih tepat dan memberi makluman pantas mengenai sebarang kelewatan.
“Hasrat kami ialah menjadikan Pulse sebagai perancang perjalanan yang komprehensif, memastikan semua maklumat adalah tepat, supaya penumpang dapat merancang perjalanan mereka dengan lebih baik,” katanya.