M Daud Kilau meninggal dunia

M Daud Kilau meninggal dunia

Penyanyi legenda itu sebelum ini berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.

M Daud Kilau pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan akibat sesak nafas Mei lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyanyi legenda M Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak, kira-kira 4.40 petang.

Berita tersebut dikongsi cucunya dikenali Hasnorikram di Instagram, yang jelas sangat terkesan dengan pemergian penyanyi sinonim gelaran “Raja Gelek” itu.

“Atuk saya Mohd Daud bin Kilau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi. Al-Fatihah,” katanya, menurut Astro Awani.

Pemilik nama sebenar Muhammad Daud Kilau itu sebelum ini berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.

Mei lalu, penyanyi berusia 85 tahun itu pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan akibat sesak nafas.

Beliau mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio Singapura pada 1968.

Bertitik tolak kemenangan itu, penyanyi popular dengan lagu Cek Mek Molek berpeluang menjadi artis rakaman, menghasilkan pelbagai album berkonsepkan langgam, asli dan dangdut.

Pada 1985 beliau pernah menjuarai kategori asli dalam Pesta Dendang Rakyat.

Jasa dan sumbangannya kepada dunia seni tempatan terbalas apabila dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak pada 1991.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.