
Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Jalan Taman Jati 1, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari 15 Dis lalu.
Tiada pengakuan direkodkan di depan Majistret S Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Nazri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau dipenjara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pegawai polis berpangkat deputi superintenden yang bertugas di IPK Kedah itu kelihatan tenang sebaik pertuduhan dibacakan.

Abang mangsa, Zarul Fitri, 29, bagaimanapun tidak dapat menahan sebak ketika pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh.
Pertuduhan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, J Geetha dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong.
Mahkamah menetapkan 7 Feb depan untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Zaharif maut selepas dipercayai diseret oleh kereta yang melanggarnya, ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.
Bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.
Susulan itu, seorang pegawai polis ditahan pada hari sama.
Sementara itu, rata-rata pengamal media kecewa apabila gagal merakam pergerakan keluar dan masuk tertuduh.
Tertuduh yang tidak memakai pakaian lokap menuju keluar dari pekarangan mahkamah sambil diiringi enam kenderaan dipandu laju.