KBS selesai pascanilai padang rosak SNBJ

KBS selesai pascanilai padang rosak SNBJ

Hannah Yeoh berkata pihaknya akan mengambil langkah penambahbaikan terhadap kerosakan terbabit.

Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas konsert Coldplay yang dihadiri 75,000 peminat pada 22 Nov lalu.
ALOR SETAR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah selesai melakukan pascanilai berhubung keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), yang sebelum ini dilaporkan rosak termasuk ketika aksi final Piala Malaysia, 8 Dis lalu.

Menterinya Hannah Yeoh berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu, bagi mengelakkan situasi sama berulang pada masa akan datang.

“Post mortem telah selesai di peringkat KBS pada minggu lepas seperti yang kita janjikan, cuma laporan tersebut perlu dibentangkan untuk lembaga pengarah (PSM) dahulu.

“Sekarang sudah hujung tahun dan mesyuarat lembaga pengarah PSM akan dijadualkan awal Januari, untuk lembaga pengarah terima keputusan dan kita akan mengambil langkah penambahbaikan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata laporan tersebut juga tidak akan didedahkan kepada umum, memandangkan ia melibatkan siasatan dalaman yang dilakukan KBS dan PSM, untuk mengelakkan isu sama berulang.

Isu padang SNBJ yang rosak sebelum ini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, yang dikatakan berpunca selepas penganjuran konsert kumpulan terkemuka, Coldplay di venue tersebut pada 22 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.