Isu bekalan beras tempatan makin reda, kata menteri

Isu bekalan beras tempatan makin reda, kata menteri

Tetapi, Mohamad Sabu berkata, bekalan beras tempatan dalam negara belum stabil sepenuhnya kerana permintaan pengguna kekal tinggi.

Mohamad Sabu ketika simbolik menuai padi sempena lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Masalah gangguan bekalan beras putih tempatan semakin reda, dibantu hasil tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Beliau bagaimanapun berkata, bekalan beras tempatan dalam negara belum stabil sepenuhnya kerana permintaan pengguna kekal tinggi.

“Masih ada (masalah kekurangan beras), tetapi dia reda dan ia sedang diusahakan untuk dicukupkan, yang baru tuai sekarang dalam proses pengilangan, jadi dia baru reda.

“Beras kita baru 65% (kadar sara diri), jadi kita tak cukup 35%, beras tempatan sekarang menjadi rebutan sebab harga beras import mahal,” katanya selepas lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Mada juga dalam proses penanaman semula padi bagi bekalan tahun depan.

Sementara itu, beliau menggalakkan komuniti di bandar besar terlibat dalam usaha keterjaminan makanan, dengan berbakti kepada tanah melalui pembukaan kebun komuniti di kawasan lapang sesuai.

Katanya, tanah lapang berdekatan kawasan perumahan boleh dimanfaatkan dengan tanaman kontan seperti cili, serai dan ulam-ulaman, sekali gus mampu memanfaatkan komuniti setempat.

“Kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan RM1 bilion untuk projek pembangunan komuniti, ia untuk projek komuniti seperti ini bukan hanya pertanian, apa-apa saja yang lain dalam bentuk komuniti ada peruntukan.

“Tetapi, (saya sarankan) mohon awal, sebab ia dah boleh dibelanjakan pada Januari nanti.”

Pada masa sama, beliau menasihati pihak ingin terlibat dalam aktiviti itu memastikan kawasan ingin dibangunkan sebagai kebun komuniti sesuai dan mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan gangguan kepada infrastruktur sedia ada.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti Madani bagi mendukung usaha memartabatkan ekonomi komuniti.

Menerusi inisiatif itu, setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun projek perumahan rakyat (PPR) akan diberikan dana maksimum RM100,000 untuk memulakan projek ekonomi seperti kraftangan atau hidroponik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.