
Katanya, pada perhimpunan politik Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk 17 Okt tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan menteri undang-undang menerbitkan laporan tersebut
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan dalam saman dikemukakan terhadap kerajaan dan lapan anggota pasukan petugas itu awal bulan ini, Thomas mendakwa Ismail memberitahu perhimpunan itu: “Saya dah berikan peluru. Dalam kes Thomas ini, kita sudah dedahkan laporan pasukan petugas.
“Saya sudah beritahu peguam negara (Idrus Harun) supaya ambil tindakan segera terhadap Thomas bawah Akta Rahsia Rasmi, undang-undang fitnah dan sebagainya.”
Thomas, yang menjadi peguam negara antara Jun 2018 dan Februari 2020 bawah kerajaan PH mendakwa, pasukan petugas itu bukan ditubuhkan untuk menjalankan sebarang inkuiri yang jujur mahupun berusaha mencari fakta.
Sebaliknya, ia digunakan untuk tujuan peribadi dan politik semasa pilihan raya, sebagai tindak balas pentadbiran Ismail selepas tuduhan rasuah dikenakan terhadap beberapa pemimpin Umno, tambah Thomas.
Bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak dan timbalannya, Zahid Hamidi, antara yang didakwa di mahkamah pada 2018 selepas PH merampas Putrajaya daripada BN.
Pada 2 Okt tahun ini, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Thomas.
Asalnya difailkan melalui saman pemula dan disokong oleh afidavit, hakim menukar saman itu kepada tindakan writ agar pihak-pihak boleh memanggil saksi untuk memberikan keterangan dan diperiksa balas pada perbicaraan.
Difailkan pada 4 Dis, pernyataan tuntutan itu juga mendakwa pasukan petugas yang ditubuhkan oleh pentadbiran Ismail tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat Thomas kerana ia bukan ditubuhkan sebagai suruhanjaya inkuiri.
Thomas berkata, penemuan panel itu, yang diterbitkan tahun lepas, juga melanggar hak perlembagaannya.
Katanya, laporan itu membayangkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai peguam negara, cuai dalam melaksanakan tugasnya, dan terbabit dalam amalan rasuah.
Beliau berkata, penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Anggota pasukan petugas yang dinamakan sebagai defendan ialah pengerusi JC Fong; Hashim Paijan; Junaidah Kamaruddin; Jagjit Singh Bant Singh; Shaharudin Ali; K Balaguru; Farah Adura Hamidi; dan Najib Surip.
Thomas mahukan deklarasi bahawa pasukan petugas itu ialah badan yang menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang ditugaskan kerajaan kepadanya.
Beliau juga mahukan deklarasi bahawa laporan yang dikeluarkan oleh pasukan petugas itu ialah dokumen yang tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.
Thomas turut meminta pampasan daripada semua defendan jika mahkamah mendapati hak perlembagaannya telah dilanggar.
Thomas menuntut ganti rugi teruk dan teladan dibayar oleh setiap anggota pasukan petugas, manakala kerajaan mesti menanggung liabiliti vikarius atas perbuatan Ismail.
Kandungan berkontroversi memoir Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 itu dihujani kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Idrus Harun, yang menggantikan Thomas sebagai peguam negara, para peguam dan ahli politik selain orang awam, dengan banyak laporan polis dibuat.
Menurut arahan mahkamah sebelum ini, defendan dikehendaki memfailkan pembelaan selewat-lewatnya 4 Jan, dengan Thomas diberi masa sehingga 18 Jan untuk memfailkan jawapan.
Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 30 Jan.