
Salim Bashir mempersoal kenapa kerajaan sementara Barisan Nasional-Perikatan Nasional tergesa-gesa menandatangani perjanjian RM3.46 bilion itu dengan anak syarikat YTL Holdings Bhd, tanpa proses tender.
“Kerajaan sementara merupakan konvensyen berparlimen demi memastikan kelicinan pentadbiran negara. Ia bermula selepas Parlimen dibubar bagi membuka laluan kepada PRU, dan Jemaah Menteri lama terus mentadbir sehingga kerajaan baharu dibentuk.
“Memandangkan ketiadaan garis panduan jelas bagi kawal selia kerajaan sementara, secara konvensyennya difahami kerajaan sementara tidak patut membuat keputusan dasar apatah lagi memberi kesan kewangan besar mengikat kerajaan selepasnya,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, FMT melaporkan 32 syarikat konsesi lebuh raya membantah langkah kerajaan secara langsung menganugerahkan projek MLFF kepada sebuah syarikat swasta tanpa rundingan dengan mereka, selain dikatakan jumlah kos melambung 30%.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata penganugerahan projek itu belum dimuktamad dan kerajaan hanya meluluskan “perjanjian pelantikan” berhubung konsep MLFF, pada 17 Nov tahun lalu, selepas Jemaah Menteri menilainya.
Bawah projek MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya terlibat akan ditukar kepada laluan tiada halangan bagi mengurangkan kesesakan dan menyuraikan aliran trafik.

Salim, bekas presiden Badan Peguam berkata, kerajaan sementara sepatutnya hanya melaksanakan dasar sedia ada atau kontrak berdasarkan peruntukan kewangan diluluskan sebelum Parlimen dibubar.
“Ia tidak sepatutnya melepaskan peranan sebagai pemegang amanah melindungi kepentingan negara ketika tempoh kerajaan sementara. Perlu ada garis panduan jelas dan kukuh terhadap tanggungjawab dan peranan kerajaan sementara,” katanya.
Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez, berkata NGO sebelum ini menggesa diadakan undang-undang berasingan membezakan apa diboleh dan tidak dibolehkan dibuat kerajaan sementara, sambil menambah kebanyakan negara demokrasi mempunyai undang-undang seumpama itu.
“Bagi projek ini, jika ia dibenarkan dalam belanjawan sebelum pembubaran, ia mungkin dibenarkan. Apabila kontrak telah dianugerahkan oleh mana-mana kerajaan terdahulu, ia mesti sukar bagi kerajaan baharu membatalkannya.
“Bagaimanapun, syarat bagi kontrak boleh dirunding semula, seperti mana projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya.
Pada 2016, kerangka perjanjian kewangan dan pembinaan bagi ECRL dinilai pada USD52 bilion (RM242.9 bilion) ditandatangani kerajaan Malaysia dengan syarikat milik China, China Communications Construction Company Ltd.
Susulan pertukaran kerajaan selepas PRU 2018, Pakatan Harapan pada mulanya mahu membatalkan projek itu mengambil kira faktor seperti kos tinggi.
Bagaimanapun, perjanjian itu dirunding semula berbanding dibatalkan, dengan laluan ECRL dijajar semula.