Mula pilihan raya tempatan di KL dulu, kata pemimpin DAP

Mula pilihan raya tempatan di KL dulu, kata pemimpin DAP

Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai berkata pelaksanaan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur akan memastikan kecekapan pentadbiran.

Tan Kok Wai berkata, pelaksanaan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bukan sahaja memberi kelestarian, malah ‘merakyatkan demokrasi’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan di bandar raya itu bagi “merakyatkan demokrasi”.

Bercakap di Konvensyen DAP Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Cheras berkata, pengenalan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

“Dengan pelaksanaan pilihan raya tempatan sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih, dan kerajaan berorientasikan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia yang kita semua banggakan,” katanya.

Pilihan raya tempatan di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an, dan kemudian diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana datuk bandar majlis tempatan dan Yang Dipertua Majlis, termasuk ahli majlis dilantik kerajaan negeri.

Tan berkata, DAP kekal komited dengan pendirian memperkenalkan semula pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur sama ada portfolio Wilayah Persekutuan diwujudkan atau tidak.

Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Jemaah Menteri yang menyaksikan portfolio Wilayah Persekutuan dipegang bekas menteri kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.