Isu kek Krismas diperjelas, kedai bakeri terima tempahan seperti biasa

Isu kek Krismas diperjelas, kedai bakeri terima tempahan seperti biasa

Kedai bakeri itu kini menerima permintaan pelanggan yang mahu ucapan Krismas ditulis pada kek berikutan pengesahan daripada Jakim.

Pelanggan beratur untuk membuat pembayaran di Berry’s Cake House di Subang Jaya. Seorang pembantu kedai berkata notis peringatan mengenai ucapan Krismas ditarik balik.
SUBANG JAYA:
Sebuah rangkaian kedai bakeri kini membenarkan ucapan Krismas ditulis pada kek berikutan pengumuman kerajaan bahawa ia tidak menghalang kedai bakeri yang disahkan halal berbuat demikian.

Seorang pembantu kedai di Berry’s Cake House di Subang Jaya berkata syarikat itu menarik balik peringatan dikeluarkan kepada kakitangan supaya tidak menerima permintaan ucapan Krismas ditulis pada kek.

FMT berjaya membeli kek dengan ucapan “Merry Christmas” tertulis di atasnya.

Ketika ditanya mengenai larangan ucapan Krismas, pembantu kedai itu berkata dia terkejut apabila melihat pekeliling syarikat itu. “Kami telah melakukannya selama beberapa tahun dan tahun ini tiba-tiba kami tidak dibenarkan. Tetapi tidak mengapa, mereka telah menarik balik,” katanya.

Dia menambah: “Kita juga mempunyai (kek dengan ucapan Krismas) yang dipamerkan juga.”

Satu gambar pekeliling dalaman daripada Berry’s kepada pekerja, yang menyebut peraturan Jakim, dikongsi secara meluas di media sosial, dengan kritikan terhadap diskriminasi ditujukan terhadap rangkaian kedai itu.

Kekecohan itu mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar malam tadi menyatakan tiada sekatan ke atas ucapan perayaan pada kek yang dibawa pulang oleh pelanggan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengeluarkan kenyataan di Facebook malam tadi untuk mengatakan tiada halangan bagi kedai bakeri yang disahkan halal menulis sebarang ucapan perayaan pada kek atau produk mereka.

Notis itu juga merujuk kepada kenyataan yang dibuat pada Disember 2020 dan pada 1 Nov tahun ini.

Bagaimanapun, kenyataan pada 2020 berkata peraturan itu hanya terpakai kepada kek yang bukan untuk tujuan dipamerkan.

Menteri terbabit belum memberi maklum balas kepada usaha FMT mendapatkan penjelasan mengenai perbezaan peraturan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.