Daftar sukarelawan Paramedik Komuniti bermula Januari

Daftar sukarelawan Paramedik Komuniti bermula Januari

Exco Melaka Dr Akmal Saleh berkata setiap sukarelawan akan dilatih sehingga cekap mengikut modul.

Exco Melaka Dr Akmal Saleh, berkata sukarelawan juga dibekal peralatan perubatan bagi respons awal kecemasan. (Gambar Bernama)
JASIN:
Pendaftaran sukarelawan program Paramedik Komuniti akan dibuka secara dalam talian bermula Januari bagi memudahkan penyertaan orang ramai di setiap kampung terlibat.

Pengerusi Program Paramedik Komuniti Dr Akmal Saleh, berkata pihaknya menyasarkan penyertaan sukarelawan di 339 kampung, bukan sahaja daripada mereka yang terlibat dalam pasukan perubatan, malah masyarakat dalam kawasan masing-masing bagi membolehkan mereka memberi bantuan kecemasan awal.

“Setiap sukarelawan yang terlibat juga akan diberikan latihan menerusi modul disediakan hingga mereka cekap dan akan turut dilengkapi dengan peralatan perubatan untuk memberi respons awal jika berlaku sebarang kecemasan.

“Menerusi Paramedik Komuniti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat negeri ini bahawa mereka juga boleh jadi sebahagian sukarelawan untuk membantu orang lain dan menjadi hero masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC Bahagian Jasin di Bandar Baru Merlimau Utara, dihadiri lebih 2,000 tetamu.

Akmal, yang juga Exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan negeri, berkata perkhidmatan Paramedik Komuniti itu juga akan diperluaskan di kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, setakat ini seramai 30 individu sedang dilatih sebelum mereka dilantik sebagai pasukan Paramedik Komuniti di kawasan tumpuan pelancongan dan akan mula memberikan perkhidmatan semasa pelancaran TMM2024.

“Melaka merupakan negeri pertama yang memperkenalkan inisiatif Paramedik Komuniti ini dan kita percaya usaha baik ini akan dicontohi oleh negeri lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.