
Jaminan diberikan Ketua Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, yang mengarahkan siasatan membabitkan pegawai bertugas di IPK Kedah dan pelajar SMK Jati, Ipoh, dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.
Arahan siasatan secara menyeluruh itu turut dikeluarkan kepada ketua polis Ipoh, ketua polis Perak dan pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
“Polis sudah merakam percakapan tujuh saksi membabitkan pelajar sekolah terbabit yang melihat dan berada di tempat kejadian.

“Selain itu, pegawai polis terbabit sudah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini,” kata Razarudin menurut Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan ketika ini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.
“Saya turut meminta mana-mana pihak yang turut melihat kejadian berkenaan dan mempunyai maklumat tampil kepada polis bagi membantu siasatan.
“Saya juga memberi jaminan siasatan ini akan dilakukan secara telus dan adil meskipun membabitkan pegawai kanan polis,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12.35 tengah hari semalam, seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, selepas disyaki dilanggar sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis berusia 44 tahun.