
Senator Dr RA Lingeswaran memberitahu FMT, sejumlah 2,008 aduan “medico-legal” (mematuhi keperluan dan kepentingan perundangan pesakit) dibuat dan 594 saman amalan salah terhadap kerajaan, bermula 2013 hingga 2022.
Memetik jawapan bertulis Kementerian Kesihatan dikeluarkan pada Jumaat, beliau berkata 80% daripada keseluruhan 2,602 kes atau 2,081 kes disebabkan faktor kakitangan perubatan, termasuk kurangnya tenaga kerja.
“Bagaimanapun, pihak kementerian menekankan kes medico-legal adalah disebabkan pelbagai faktor dan bukan satu alasan sahaja. Ia melibatkan kekurangan tenaga kerja dan peralatan perubatan.
“Kerajaan membayar RM70.3 juta sejak 10 tahun lalu bagi penyelesaian kes medico-legal, terutama menjurus kekurangan tenaga kerja membabitkan pegawai perubatan, doktor gigi, ahli farmasi, jururawat dan pegawai pembantu perubatan,” katanya.
Pihak kementerian memberi jaminan untuk mengambil pendekatan serius menambahbaik kompetensi kakitangannya dan dalam proses mengisi kekosongan demi memastikan penjagaan kesihatan lebih baik kepada rakyat.

Maklum balas Kementerian Kesihatan susulan pertanyaan Lingeswaran di Dewan Negara berkait jumlah aduan medico-legal dan saman diterima kerajaan, sejak 2013 hingga tahun lalu.
Beliau yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap, menggesa kerajaan melihat kepada kekurangan peralatan perubatan di hospital awam.
Katanya, kurangnya peralatan dan mesin rosak menyumbang masa menunggu lama di hospital awam, termasuk amalan salah perubatan.
Lingeswaran berkata, ia mencerminkan keperluan mendesak kepada kakitangan perubatan untuk dilatih berhubung isu amalan salah dan bahaya berkaitannya.
“Kerajaan mesti menyelesaikan perkara ini dan mengelak membazir dana untuk menyelesaikan saman medico-legal, yang mana dana itu boleh digunakan untuk pembaikan segera peralatan mahupun pembelian,” katanya.