
Speaker Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan peranan Parlimen.
“Jawatankuasa ini akan mengkaji rang undang-undang secara terperinci walaupun perkara itu telah dikaji di peringkat Jabatan Peguam Negara dan pihak kerajaan tetapi kami masih mendapati ada dasar kerajaan yang tidak konsisten,” katanya semalam.
Beliau berkata, terdapat undang-undang diluluskan selepas kemerdekaan hingga kini yang tidak selari dengan kehendak Perlembagaan dan menyifatkan undang-undang itu tidak berkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dan perancangan mengenai keperluan itu juga dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya telah mendapatkan kata sepakat bahawa saya akan menerajui kajian teknikal berhubung apa yang saya nak buat. Selepas itu, kajian teknikal yang telah siap itu akan dibawakan ke dalam satu jawatankuasa yang sama di peringkat Parlimen.
“Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersama wakil daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara, wakil penasihat undang-undang dan wakil kerajaan yang relevan,” katanya.
Terdahulu, Wan Junaidi hadir pada program Ruang Bicara bertajuk “Memperkasa Legislatif, Memelihara Keseimbangan Kuasa” terbitan Bernama TV yang disiarkan semalam.