Suri rumah, 2 anak maut kereta bertembung treler

Suri rumah, 2 anak maut kereta bertembung treler

Kereta dinaiki 3 beranak itu hilang kawalan di selekoh dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh treler.

Nahas awal pagi tadi menyebabkan kesemua mangsa yang menaiki Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian. (Gambar JBPM)
KUANTAN:
Seorang suri rumah dan dua anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung sebuah treler di KM17 Jalan Lipis-Benta, di Penjom dekat Kuala Lipis, awal pagi ini.

Ketua Polis Lipis Azli Mohd Noor berkata, nahas pada 2.25 pagi itu menyebabkan kesemua mangsa yang menaiki Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mangsa yang maut terdiri daripada Nor Faizah Ridzuan, 34, yang beralamat di Kok Lanas, Kelantan dan dua anaknya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10, serta Muhammad Hafiy Azman, tiga tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan semasa melalui selekoh menyebabkannya masuk ke laluan bertentangan dan merempuh treler tersebut.

“Kemalangan menyebabkan kereta itu diseret treler dan merempuh besi penghadang jalan,” katanya menerusi kenyataan.

Azli berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan dari ibu negara.

Pemandu treler berusia 48 tahun tidak cedera dalam kejadian itu.

Mayat tiga beranak itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.