Rombakan boleh cetus rasa tak senang dalam Umno, kata sumber

Rombakan boleh cetus rasa tak senang dalam Umno, kata sumber

Seorang pemimpin Umno berkata, tiada apa yang mewajarkan menteri-menteri parti itu ditukar portfolio.

Rombakan Jemaah Menteri diumumkan Selasa lalu hanya akan mengukuhkan pegangan Zahid Hamidi dalam Umno, kata sumber. (Gambar Umno Online)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno memberi amaran rombakan Jemaah Menteri pada Selasa lalu, yang melihat pertukaran portfolio beberapa menteri parti itu, mungkin tidak diterima baik ahli akar umbi.

Ketua bahagian yang enggan dinamakan itu berkata, tiada apa yang mewajarkan pemimpin kanan Umno ditukarkan portfolio.

Menurutnya, rombakan itu juga hanya mengukuhkan pegangan Presiden Umno Zahid Hamidi dalam parti itu, dan pada masa sama menggugat pemimpin lain.

Dalam rombakan Jemaah Menteri itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang sebelum ini menjadi menteri pertahanan, ditukar ke Kementerian Luar. Portfolio pertahanan diserahkan kepada bekas menteri pendidikan tinggi Khaled Nordin, naib presiden Umno.

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Zambry Abdul Kadir, sebelum ini menteri luar, mengambil alih portfolio pendidikan tinggi.

Sumber itu berkata, tidak mungkin Perdana Menteri Anwar Ibrahim menukarkan portfolio pemimpin Umno berkenaan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Zahid, antara sekutu paling rapatnya dalam kerajaan.

“Saya tak rasa Zahid mahu sesiapa lebih menyerlah daripadanya, khususnya jika individu itu orang nombor dua dalam Umno,” katanya.

Selain itu, katanya, rombakan itu memberi isyarat bahawa prestasi menteri Umno kurang memuaskan, sedangkan itu tidak benar.

Disebabkan itu pemimpin Umno dan penyokong mereka pasti tidak berpuas hati dengan rombakan Jemaah Menteri itu, katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno Johor mendakwa rombakan Jemaah Menteri itu mungkin menghalang menteri mencapai hasil kerja yang baik dalam kerajaan.

“Apabila dipindahkan ke portfolio baharu, mereka perlu bermula semula,” katanya.

Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu mendakwa pertukaran jawatan Mohamad sebagai menteri luar akan melemahkannya dan memanfaatkan Zahid.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, portfolio menteri luar, yang memerlukan perjalanan ke luar negara untuk tempoh lama, bukan sesuatu yang strategik kerana akan menghalang Mohamad daripada mencabar Zahid bagi jawatan presiden Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.