
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Soffian Santong, berkata polis menemui wanita dan lelaki itu masing-masing berusia 22 dan 28 tahun, dalam serbuan pada 4.10 petang di kilang tersebut yang beroperasi sejak setahun lepas tanpa lesen.
“Semasa serbuan, mangsa wanita ditemui di sebuah bilik di tingkat satu kilang dalam keadaan menangis ketakutan. Siasatan awal menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar dan tidak menerima gaji lebih empat bulan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata lelaki warga Indonesia itu pula yang bekerja kira-kira setahun lepas kehilangan satu jari tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja dan didapati berlaku pengabaian oleh majikan kerana gagal memberikan rawatan sepatutnya.
Berdasarkan indikator seperti waktu kerja yang panjang dan tidak dibayar gaji melebihi tiga bulan serta pengabaian majikan, mangsa disyaki orang yang diperdagangkan di bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007.
Polis turut menahan seorang lelaki dan wanita warga China yang berperanan sebagai penyelia kilang dan pembantu penyelia untuk siasatan lanjut, selain 15 pendatang tanpa izin warga Myanmar, China, Bangladesh, dan Indonesia.
Serbuan Op Pintas Bersepadu itu melibatkan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja Selangor.