PM hanya Melayu idea aparteid, kata kumpulan peguam

PM hanya Melayu idea aparteid, kata kumpulan peguam

Lawyers for Liberty berkata terdapat cukup perlindungan mengenai kedudukan orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek (kiri) berkata desakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk mengehadkan hanya Melayu boleh menjadi perdana menteri akan dibatalkan mahkamah.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty mengecam cadangan seorang Ahli Parlimen pembangkang untuk menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Pengarah LFL, Zaid Malek, berkata cadangan itu umpama satu bentuk aparteid kerana ia membenarkan perkauman dalam Perlembagaan Persekutuan.

Zaid berkata, sebarang usaha untuk mengehadkan jawatan perdana menteri kepada satu kaum sahaja akan ditolak oleh mahkamah kerana ia bakal “melanggar” Perlembagaan.

Katanya, terdapat cukup perlindungan mengenai kedudukan orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan Melayu dan Islam tidak mudah diubah kerana ia memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja, seperti termaktub dalam Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah perlindungan ini sendiri sudah cukup untuk menolak kebimbangan tidak berasas dibangkitkan Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, cadangan Ahli Parlimen Bersatu mesti segera ditolak oleh perdana menteri dan kerajaan serta dikecam semua pihak.

Zaid berkata, bahawa dengan konflik Israel-Palestin yang menarik perhatian kepada dasar aparteid, kata-kata Wan Fayhsal ini mungkin akan mempengaruhi kedudukan negara di pentas antarabangsa dalam menangani isu kesamarataan dan hak asasi manusia.

“Malaysia mungkin tidak akan mempunyai kewibawaan moral lagi untuk bersuara di pentas antarabangsa, sama ada tentang Palestin atau perkara lain jika pindaan seumpama itu dilakukan,” katanya.

Zaid juga berkata, bahawa Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengesahkan “doktrin asas struktur” di mana Perlembagaan tidak boleh dimanipulasi untuk merosakkan nilai-nilai asas demokrasi dan kesamarataan yang tertanam sejak Merdeka.

Semalam, Wan Fayhsal mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggunakan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi meminda Perlembagaan untuk memastikan hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Ketua Pemuda Bersatu berkata, langkah itu juga akan memulihkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan, ketika pertikaian berhubung isu berkenaan dibangkitkan Lim Kit Siang, baru-baru ini.

Veteran DAP itu membangkitkan persoalan sama ada orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.