Cadangan bina lebuh raya bertingkat, Sungai Klang Link, MTDC meterai MoU

Cadangan bina lebuh raya bertingkat, Sungai Klang Link, MTDC meterai MoU

Kerjasama dengan MTDC akan mengukuhkan lagi usaha memacu pembangunan serta pembinaan lebuh raya bertingkat inovatif yang disasarkan, kata SKL.

Cadangan lebuh raya sepanjang 53km itu meliputi kawasan di sepanjang Sungai Klang yang bakal disepadukan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada, menurut SKL. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sungai Klang Link Sdn Bhd (SKL) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MTD Construction Sdn Bhd (MTDC) bagi pembangunan serta pembinaan projek lebuh raya bertingkat yang dicadangkan oleh SKL kepada kerajaan.

Dalam kenyataannya, SKL berkata, pihaknya dalam proses mendapatkan kelulusan akhir bagi cadangan membina, memiliki serta mengendalikan projek itu sebagai konsesi.

“Cadangan lebuh raya sepanjang 53km itu meliputi kawasan di sepanjang Sungai Klang yang bakal disepadukan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada,” katanya.

“Ia akan turut menggabungkan tujuh persimpangan yang dicadangkan bermula di Klang dengan persimpangan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Pantai Baru 2 (NPE).”

Syarikat itu juga menyifatkan kerjasama dengan MTDC akan mengukuhkan lagi usaha memacu pembangunan serta pembinaan infrastruktur lebuh raya bertingkat inovatif yang disasarkan olehnya.

Pada masa sama, ia juga memberi takrifan semula infrastruktur pengangkutan dan meletakkan asas untuk masa depan yang progresif serta saling berkaitan, katanya.

MTDC, anak syarikat Kumpulan MTD, akan menyumbang dari segi pengetahuan, pengalaman dan kepakarannya kepada pembangunan projek lebuh raya yang dicadangkan itu.

Sokongan MTDC akan merangkumi fasa perancangan, pembinaan dan menyiapkan lebuh raya berkenaan manakala Kumpulan MTD menyumbang kepakaran komprehensifnya meliputi aspek perkhidmatan, tenaga kerja, bahan dan peralatan.

Tumpuan khusus akan diberikan kepada aspek pengurusan operasi lebuh raya dan penyelenggaraan projek berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.