10% cukai jualan barangan import dalam talian mulai 1 Jan

10% cukai jualan barangan import dalam talian mulai 1 Jan

Cukai itu akan dilaksanakan ke atas barangan berharga bawah RM500 yang dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh vendor berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Cukai ke atas barangan import bernilai rendah itu sepatutnya berkuat kuasa 1 April lalu.
PETALING JAYA:
Cukai jualan 10% akan dikenakan ke atas barangan dijual dalam talian berharga bawah RM500 mulai 1 Jan ini, menurut panduan kastam baru-baru ini.

Cukai barangan bernilai rendah itu akan dikenakan ke atas barang yang dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh vendor berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Cukai itu diperkenalkan menerusi pindaan kepada Akta Cukai Jualan yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2022, dan sepatutnya mula berkuat kuasa 1 April lalu tetapi ditangguhkan.

Tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan menjangkakan kutipan RM200 juta setahun daripada cukai itu.

Timbalan menteri kewangan ketika itu, Shahar Abdullah dilaporkan berkata, cukai itu akan menyamaratakan peluang bagi peniaga dalam talian dalam dan luar negara, seterusnya memperkasakan pasaran serta peniaga tempatan.

Cukai itu pertama kali dicadangkan menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022.

Bulan lalu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menggesa Putrajaya melaksanakan cukai itu bagi mengurangkan “saingan tidak seimbang” antara kedai fizikal dan pasaran dalam talian.

Presiden William Ng dilaporkan berkata peniaga tempatan perlu membayar cukai, sewa dan kos overhed, sementara peniaga dalam talian sering dapat mengelak tanggungjawab percukaian, selain cenderung membayar sewa serta overhed lebih rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.