
Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata wanita itu mula menunjukkan gejala rabies pada 28 Nov dan meninggal dunia pada 12 Dis. Sampel klinikal mengesahkan pesakit itu dijangkiti penyakit tersebut.
“Wanita itu memelihara enam kucing yang dibiarkan berkeliaran dan berinteraksi dengan haiwan liar lain. Semua haiwan itu juga tidak disuntik vaksin rabies. Seekor kucing itu mati dua bulan lalu.
“Wanita itu ada sejarah kencing manis dan darah tinggi. Walaupun dia menafikan ada digigit oleh haiwan sebelum ini, pemerhatian klinikal menemui kesan luka dicakar pada badannya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Pesakit juga sering dijilat oleh kucing peliharaannya, tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan (untuk luka) atau menerima vaksin rabies di mana-mana kemudahan kesihatan.”
Menurut Ooi, 16 kematian akibat rabies yang dicatatkan pada tahun ini adalah paling tinggi berbanding 14 kes yang dilaporkan pada 2022.
Secara keseluruhan, sebanyak 73 kes membabitkan manusia dilaporkan sejak wabak rabies diisytiharkan pada Julai 2017, dengan 66 kematian.
Ooi menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan dengan segera mencuci anggota badan yang digigit anjing atau haiwan lain selama 15 minit dengan air mengalir dan sabun. Pemilik haiwan juga mesti memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat suntikan vaksin rabies.