Rahman nafi Warisan-Umno Sabah kerjasama pada PRN

Rahman nafi Warisan-Umno Sabah kerjasama pada PRN

Timbalan ketua Umno Sabah itu berkata, mereka belum membuat keputusan mengenai rakan kerjasama bagi PRN.

Rahman Dahlan meminta ahli, penyokong dan aktivis Umno Sabah bertenang sehingga ada keputusan rasmi mengenai rakan kerjasama yang akan dibuat dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Umno Sabah, Rahman Dahlan menafikan dakwaan ia akan bekerjasama dengan Warisan pada PRN akan datang.

Katanya, Umno Sabah belum membuat keputusan mengenai rakan kerjasama bagi PRN itu.

“Buat masa ini, kepimpinan Umno Sabah masih menjalankan perbincangan awal dengan semua parti. Ini bermakna belum ada keputusan rasmi mengenai siapa rakan kerjasama Umno Sabah dalam PRN akan datang.

“Saya berharap ahli, penyokong dan aktivis Umno Sabah di akar umbi bertenang sehingga ada keputusan rasmi mengenai rakan kerjasama Umno Sabah dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Warisan, Shafie Apdal bahawa parti itu dan Umno Sabah akan bekerjasama pada PRN akan datang.

Bekas ketua menteri Sabah itu turut dilaporkan berkata, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin sudah setuju bekerjasama untuk melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Rahman berkata, Umno Sabah baru-baru ini bersetuju untuk mengadakan perbincangan awal dengan semua parti di negeri itu, bagi menilai parti mana boleh dijadikan rakan kerjasama dalam pilihan raya negeri.

Penggal kerajaan Sabah bakal berakhir pada pada Oktober 2025. Bagaimanapun, Hajiji membayangkan kemungkinan pilihan raya negeri diadakan seawal tahun depan.

Shafie dan Bung sebelum ini berusaha menggulingkan kerajaan Hajiji pada Januari lalu, tetapi gagal selepas enam ADUN Umno Sabah enggan memberikan sokongan.

Hajiji kemudian memperoleh sokongan Pakatan Harapan Sabah seterusnya membolehkan GRS terus memerintah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.