
Presiden P Punithan berkata naratif negatif terhadap PAS hanya momokan lawan dan menegaskan setiap individu serta parti tidak terlepas mengeluarkan kenyataan sensitif.
“Kita tak takut dengan PAS, ini hanya dakwaan kerajaan hari ini yang takut dengan gelombang rakyat sokong PN, memangsakan PAS dengan menghasut orang bukan Islam bencikannya,” katanya kepada FMT.
Difahamkan MIPP yang ditubuhkan empat tahun lalu akan menyerahkan permohonan menyertai PN minggu ini, bertujuan menguatkan sokongan kaum India kepada gabungan berkenaan.
Punithan, bekas ketua Pemuda MIC Selangor mendakwa PAS hanya menjalankan tanggungjawab kepada pengundi memilihnya, majoritinya Melayu sambil menegaskan tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai perkauman.
“PAS bersuara untuk Melayu dan Islam sebab mereka dapat sokongan majoriti masyarakat Melayu, bukan rasis sebab pertahan hak.”
“Kalau saya mewakili kaum India saya akan bermati-matian pertahankannya. Apakah saya rasis?,” katanya.
Katanya, pembabitan PAS dalam kerajaan selama 33 bulan dari 2020 hingga 2022 selain pentadbiran di Kedah, Terengganu, Kelantan serta Perlis menunjukkan parti itu bukan perkauman.
Januari lalu, Presiden Gerakan Dominic Lau mengakui orang bukan Islam bimbang dengan beberapa kenyataan pemimpin PAS sehingga PN sukar menarik sokongan pengundi Cina dan India.
Sementara itu, Punithan mendakwa ada nama besar mempunyai pengaruh besar di kalangan komuniti India bakal menyertainya yang diyakini mampu menguatkan sokongan kaum berkenaan kepada PN.
“Nama cukup besar akan sertai MIPP, kami akan guna pengalaman dan khidmat nasihat mereka untuk memantapkan parti.
“Sampai masa kita umum, sekarang tak boleh beritahu…bimbang mereka ditekan,” katanya.