Kren tumbang: Perkhidmatan komuter, ETS kembali pulih

Kren tumbang: Perkhidmatan komuter, ETS kembali pulih

KTMB memaklumkan tren komuter pertama telah memulakan operasi dari stesen Tanjung Malim ke KL Sentral.

Kejadian kren tumbang di landasan antara Rawang dan Kuang dua hari lalu menyebabkan gangguan perkhidmatan tren Komuter Lembah Klang dan ETS Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim.
KUALA LUMPUR:
Semua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Lembah Klang bagi laluan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim dan tren elektrik (ETS) yang terjejas akibat sebuah kren binaan patah antara Rawang dan Kuang, dua hari lepas kembali pulih.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan tren komuter pertama bernombor 2301 telah memulakan operasi seawal 5.05 pagi tadi dari stesen Tanjung Malim ke KL Sentral.

“KTMB memohon maaf sekali lagi atas kejadian yang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama penumpang yang terkesan dan menghargai perhatian serta pemahaman anda,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui Messenger Facebook rasmi KTMB.

Pada Selasa lalu, KTMB memaklumkan perkhidmatan KTMB Komuter Lembah Klang dan ETS mengalami gangguan perjalanan disebabkan kren tumbang berhampiran landasan.

Susulan kejadian itu perkhidmatan Komuter sektor Tanjong Malim-KL Sentral-Tanjong Malim akan ditamatkan di Serendah.

Menurut KTMB, pengguna yang terjejas boleh menukar jadual perjalanan atau menuntut bayaran tiket mereka, dan wang akan dikreditkan ke dalam akaun e-dompet pengguna serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.