Kes mahkamah berkait pegawai MB Selangor tangguh

Kes mahkamah berkait pegawai MB Selangor tangguh

Sebelum ini, Jay Jay Denis diminta hadir ke Mahkamah Alor Gajah hari ini berkait hantaran melibatkan Yang di-Pertua Melaka Ali Rustam.

Jay Jay Dennis ditahan polis untuk siasatan berkaitan hantarannya di media sosial tahun lalu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Pertuduhan jenayah terhadap Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkait hantaran melibatkan Yang di-Pertua Melaka Ali Rustam yang dijadual di Mahkamah Alor Gajah esok, ditangguhkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jay Jay Denis menerusi hantaran di X yang dulunya dikenali Twitter.

“Terima kasih kepada anda semua atas sokongan dan doa. Besar harapan saya tiada lagi yang menjadi mangsa dan Malaysia boleh terus matang,” katanya.

Sebelum ini, Jay Jay memaklumkan beliau diminta hadir berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana didakwa membuat kenyataan menimbulkan kegusaran kepada orang awam.

Beliau juga dijangka berdepan satu lagi tuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Tahun lalu, Jay Jay ditahan polis susulan laporan diterima berkait hantaran di media sosial dipercayai ada kaitan dengan video dimuat naik pada 6 Sept 2022, memaparkan konvoi Ali meninggalkan restoran di Medan Damansara, Kuala Lumpur.

Dalam hantaran itu, Jay Jay mendakwa menyaksikan konvoi Ali bersama “lapan” (polis pengiring) dan tiga kenderaan pengiring” menghalang trafik di Lebuhraya Sprint sebelum membuat pusingan-U dengan Ali didapati keluar daripada satu kenderaan itu.

“Ingatkan ada majlis rasmi kepentingan negara. Tapi tidak,” katanya sambil mendakwa Ali bersama keluarganya untuk makan malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.