
Rewcastle Brown berkata, RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM120,000 untuk kos yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan selepas dia dan dua individu lain didapati bertanggungjawab atas fitnah adalah “seribu kali ganda kurang” daripada jumlah asal yang dituntut.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu masih cukup besar bagi ketiga-tiga mereka.
Rewcastle Brown juga berkata, Sarawak Report sedang menyediakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan “terhadap keputusan mengejutkan” ini.
“Kami tegaskan bahawa tiada penghinaan mahupun fitnah yang diucapkan dalam buku ini terhadap litigan,” katanya di platform pengumpulan dana awam, GoFundMe.
Ketika dihubungi, Rewcastle Brown berkata, sekiranya mahkamah tertinggi negara itu memutuskan untuk memihak kepada mereka selepas rayuan, dana awam yang dikumpul akan didermakan untuk tujuan amal.
“Kami akan meletakkan (dana awam yang dikumpul) dalam badan amal kami untuk membantu libat urus Orang Asli dalam projek penanaman semula hutan di Malaysia Timur,” katanya merujuk kepada Forest South East Asia.
Dua hari lepas, Mahkamah Rayuan menganugerahkan ganti rugi dan kos kepada Sultanah Nur Zahirah selepas mendapati Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd bertanggungjawab atas fitnah.
Hakim Azahari Kamal Ramli yang menyampaikan keputusan sebulat suara membenarkan rayuan Sultanah berkata, hakim perbicaraan terkhilaf menolak saman itu tahun lepas.
Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kenyataan dalam buku Rewcastle Brown, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah.
Sultanah itu memulakan saman fitnah RM300 juta pada 2018, mendakwa Rewcastle Brown memperkecilkan beliau dalam buku yang menceritakan kisah di sebalik siasatan Sarawak Report berhubung skandal 1MDB.
Baginda mendakwa kenyataan itu mencadangkan penglibatannya dalam amalan rasuah, campur tangan dalam pentadbiran Terengganu dan bahawa baginda menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudian menjadi 1MDB.
Baginda seterusnya mendakwa, kenyataan itu boleh dianggap sebagai bermaksud bahawa baginda membantu Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menjadi penasihat TIA
Rewcastle Brown dalam pembelaannya berkata, dia melakukan “kesilapan yang tidak disengajakan” ketika menyatakan “pemain utama” dalam kenyataan yang dipertikaikan itu sebagai “isteri sultan”.