30% perokok elektronik di Malaysia usia 12 hingga 15 tahun, kata pertubuhan

30% perokok elektronik di Malaysia usia 12 hingga 15 tahun, kata pertubuhan

Southeast Asia Tobacco Control Alliance berkata kanak-kanak menjadi sasaran menerusi penggunaan karektor kartun, bersama ribuan perisa, selain menyerupai mainan dan gula-gula.

KAPSYEN – Southeast Asia Tobacco Control Alliance berkata rokok elektronik bersama nikotin menyebabkan ketagihan tinggi, termasuk memberi kesan sampingan kesihatan.

PETALING JAYA:
Kira-kira 30% perokok elektronik di Malaysia berusia 12 hingga 15 tahun, menurut pertubuhan antitembakau Asia Tenggara.

Southeast Asia Tobacco Control Alliance (Seatca) berkata, prevalen penggunaan rokok elektronik dalam kumpulan umur tersebut tinggi di negara ini, berbanding prevalen perokok remaja, iaitu 12.5% (10.8% lelaki and 1.7% perempuan).

Secara perbandingan, pertubuhan itu berkata negara lain di Asean seperti Brunei, Kemboja, Laos, Singapura, dan Thailand, melarang penggunaan alatan itu termasuk hampir 40 negara lain.

Sambil menyeru Malaysia mengambil langkah sama dalam usaha menghentikan trend membimbangkan itu, pertubuhan berkenaan berkata rokok elektronik yang diambil bersama nikotin mencetuskan ketagihan tinggi, selain kesan terhadap kesihatan.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata rokok elektronik secara agresif dipromosi kepada orang muda melalui media sosial dan pempengaruh.

“Kanak-kanak terutamanya disasarkan menerusi karektor kartun, ketersediaan sekurang-kurangnya 16,000 perasa, dan rokok elektronik menyerupai mainan, gula-gula, dan peralatan persekolahan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam rantau Asean, katanya prevalen rokok elektronik dalam kalangan remaja Filipina adalah 14.1%, manakala Indonesia, 11.8% pelajarnya menggunakan rokok elektronik.

“Walaupun kesan kesihatan jangka panjang belum dapat dikenalpasti sepenuhnya, telah terbukti ia menghasilkan bahan toksik yang mana berupa karsinogenik, selain meningkatkan risiko gangguan jantung dan paru-paru.

“Penggunaan rokok elektronik juga menjejaskan perkembangan otak dan menjurus gangguan pembelajaran golongan muda,” katanya.

Seatco berkata, produk berkenaan berbahaya dan tidak cekap digunakan bagi berhenti merokok seperti didakwa.

“Dakwaan kurang bahaya belum dapat dibuktikan dan mengelirukan. Lebih tepat mengatakan ia adalah permulaan bahaya bagi orang muda yang tidak pernah merokok, dan pengganti bahaya kepada perokok yang cuba berhenti merokok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.