
Peguam Amer Hamzah Arshad, juga berkata isteri kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, tidak berada dalam kedudukan mengemukakan pembelaan efektif kerana pertuduhan dihadapi cacat dan mengelirukan.
“Tiada notis undang-undang mencukupi dan wajar diberikan kepadanya. Beliau tidak sepatutnya melalui perbicaraan jika pertuduhan tidak sejajar undang-undang,” katanya ketika berhujah memohon pertuduhan ke atas Rosmah, 72, dibatalkan.
Amer berkata, 12 daripada 17 pertuduhan tidak melibatkan “transaksi” seperti ditakrif mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Katanya, pendakwaan dikenakan hanyalah melibatkan deposit wang ke dalam akaun banknya, yang merupakan tindakan unilateral. “Transaksi” boleh berlaku jika ia melibatkan dua pihak atau lebih, kata peguam itu.
Amer berkata, baki lima lagi pertuduhan berhubung dakwaan gagal mengemukakan penyata cukai sedangkan ia tidak melanggar undang-undang antipengubahan wang.
Beliau berhujah pendakwaan terhadap Rosmah hampir menyerupai seperti mana dikenakan ke atas peguam terkenal, Shafee Abdullah, yang dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi, tahun lalu.
Shafee didakwa menerima cek RM4.4 juta pada 13 Sept 2013, dan satu lagi RM5.2 juta pada 17 Feb 2014 daripada Najib. Pihak pendakwaan menuduh wang tersebut hasil daripada kegiatan haram.
Shafee juga dituduh mengemukakan penyata cukai tidak betul bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014, mengenepikan pendapatan berjumlah RM9.5 juta daripada penyata cukainya.
Amer berkata, pihak pendakwaan tidak meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan susulan pembebasan peguam itu, selain menambah peguam negara sepatutnya mempertimbang menarik semula tuduhan ke atas Rosmah.
Pada awal prosiding, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang turut mewakili Rosmah, memaklumkan kepada Hakim K Muniandy, pihaknya menghantar representasi baharu kepada peguam negara.
Beliau memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi memberi masa kepada peguam negara mengkaji representasi dikemukakan.
Bagaimanapun, Muniandy tidak membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan peguam Rosmah mengemukakan permohonan pembatalan pendakwaan.
Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau dikenakan pendakwaan kerana tidak memfailkan penyata cukai seperti dikehendaki Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.
Perbicaraannya bermula 24 Ogos dan setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan. Bagaimanapun, prosiding tertangguh selepas beliau memfailkan permohonan pembatalan pertuduhan, pada 6 Sept.
Pendengaran membatalkan pertuduhan ditangguhkan ke 16 Jan.