
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin berkata pengguna yang ingin membatalkan perjalanan boleh menuntut bayaran tiket mereka, dan wang akan dikreditkan ke dalam akaun e-dompet pengguna serta-merta.
“Penumpang yang ingin membatalkan perjalanan, kita akan pulangkan tambang atau mereka boleh ubah perjalanan.
“Proses pemulangan tambang akan dibuat serta-merta melalui e-dompet,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kren binaan tumbang di KM355.7 antara Stesen Rawang dan Kuang.
Kejadian 5.35 petang semalam itu menyebabkan perkhidmatan KTM dan ETS laluan KL Sentral-Tanjung Malim-KL Sentral mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan lebih dua jam.
Rani berkata susulan insiden itu, perkhidmatan tren komuter laluan KL Sentral-Tanjung Malim ditamatkan di Stesen Sungai Buloh manakala Tanjong Malim-KL Sentral akan ditamatkan di Serendah.
Bagi perkhidmatan ETS laluan Padang Besar-Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjung Malim, katanya.
“Penumpang dibawa menaiki bas perantara yang disediakan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren.
“Sementara itu, bagi laluan Gemas – KL Sentral – Butterworth dan Gemas – KL Sentral – Padang Besar, penumpang diaturkan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan seterusnya dibawa menaiki bas ke Stesen Tanjung Malim untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, dengan menaiki tren ETS di laluan yang tidak terjejas,” katanya.