
Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata kedua-dua suspek yang juga rakan mangsa ditahan di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.
“Kedua-dua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun kini direman sehingga 18 Disember ini untuk membantu siasatan.
“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti lokasi mangsa dibunuh sebelum mayatnya ditemui,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat pelbagai kecederaan kesan hentakan benda tumpul di beberapa bahagian tubuhnya.
Katanya, polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, dipercayai dibunuh di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.
Mayat lelaki berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh orang awam kira-kira 6 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.