Kerajaan persekutuan bina takungan air di Linggi tahun depan

Kerajaan persekutuan bina takungan air di Linggi tahun depan

TAPS Linggi berfungsi sebagai simpanan bekalan air mentah kepada LRA Sungai Linggi jika berlaku pencemaran pada masa akan datang, kata MB.

Penutupan operasi LRA Sungai Linggi disebabkan pencemaran baru-baru ini menjejaskan kira-kira 42,000 pengguna di sekitar Seremban dan Port Dickson. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Kerajaan persekutuan akan membina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi berkapasiti 250 juta liter sehari (MLD) pada penghujung tahun depan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata, TAPS Linggi berfungsi sebagai simpanan bekalan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi jika berlaku pencemaran di sungai itu pada masa akan datang.

Katanya, usaha itu merupakan perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan air di LRA Sungai Linggi sekiranya berlaku penutupan akibat pencemaran.

“Penutupan operasi LRA Sungai Linggi (baru-baru ini) disebabkan pencemaran. Masalah ini memberi kesan kepada lebih kurang 42,000 akaun (pengguna) di sekitar Seremban dan Port Dickson.

“Pada masa kini, sebanyak 85% pemegang akaun telah menerima bekalan air terawat seperti biasa,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

“(Sementara itu), 15% lagi masih dalam fasa pemulihan kerana terdapat kawasan terletak di penghujung sistem retikulasi air pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).”

Aminuddin berkata, SAINS masih menggunakan lori tangki dan tangki statik bagi menyalurkan air terawat kepada pengguna terjejas.

Dalam pada itu, beliau berkata, Badan Kawal Selia Air negeri, SAINS, Jabatan Alam Sekitar negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengesan sebuah premis di kawasan perindustrian di Seremban 2 disyaki menyebabkan pencemaran LRA Sungai Linggi.

“Sampel air dari premis tersebut turut diambil untuk tujuan siasatan. Semasa siasatan, agensi terlibat memberikan fokus kepada kawasan perindustrian, bengkel-bengkel lori, kawasan operasi permit pasir bermula dari kawasan Pantai, Seremban 2, Mambau, sepanjang jalan raya Seremban-Rantau membawa sehingga ke LRA Sungai Linggi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kawasan di Port Dickson dan bandar raya ini mengalami masalah gangguan bekalan air berikutan masalah sumber air mentah berbau diesel di LRA itu pada Sabtu dan 7 Nov lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.