
Saifuddin berkata, ini susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyediakan laporan awal mengenai ketidakpatuhan pertubuhan, rentetan insiden sebuah pertubuhan didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
“Jadi kita akan sediakan dan bentang pada Jemaah Menteri pada suku pertama tahun depan seperti yang diarahkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan replika cek Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) 2023 hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPPM Zulfikar Ahmad.
Saifuddin berkata, JPPM turut diarahkan untuk melaksanakan pemantauan secara rawak terhadap pertubuhan berdaftar bermula tahun depan.
“Pemantauan berterusan kena buat, jadi kaedahnya ialah secara rawak untuk memastikan pertubuhan patuh Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
“(Ia juga sebagai) langkah berjaga-jaga, supaya jangan ada pertubuhan berdaftar idijadikan platform untuk aktiviti bercanggah undang-undang, seumpama cuci wang atau biayai kegiatan mengancam keselamatan.”
Sementara itu, Saifuddin Nasution memaklumkan, sebanyak 54,642 pertubuhan dibatalkan sejak 1966.
Katanya, JPPM telah melaksanakan proses tapisan ketat terhadap permohonan pendaftaran sejak tiga tahun lepas bagi memastikan pertubuhan berdaftar menjalankan kegiatan memanfaatkan ahli dan menunjukkan pematuhan tinggi kepada undang-undang.
Sementara itu, Mohd Zulfikar berkata, JPPM telah melakukan pemeriksaan terhadap 1,118 pertubuhan berdaftar sehingga 10 Dis 2023, merangkumi empat kategori iaitu keagamaan, rekreasi, kebajikan dan sosial.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26% pertubuhan didapati melanggar undang-undang tubuh atau perlembagaan pertubuhan,” katanya.