
Semasa membentangkan RUU tersebut untuk kelulusan Dewan Negara, Dzulkefly mengakui kebimbangan orang ramai mengenai pengecualian peruntukan GEG tersebut, yang mengharamkan penjualan tembakau dan produk vape kepada individu yang dilahirkan selepas 2007.
Menurut Dzulkefly, RUU itu telah diusahakan oleh beberapa menteri kesihatan sebelum akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 Nov.
Selain itu, 18 sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan tiga perbincangan meja bulat telah diadakan sebelum RUU itu dimuktamadkan, tambahnya.
“Namun itulah dia, manusia merancang, Allah menentukan dan takdir Allah meletakkan hari ini, tuan-tuan tidak (dapat) melihat dan membaca (peruntukan) GEG dalam RUU ini.
“Saya mohon jutaan maaf, kalau begitulah selayaknya saya mohon kepada semua, dan saya membentangkannya dengan tidak mengurangkan kepentingan untuk semua ahli-ahli bersama meluluskan RUU ini.
“(RUU ini) sudah terlalu lama diusahakan,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
RUU itu antara lain bertujuan mengharamkan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau, atau penyediaan sebarang perkhidmatan merokok kepada individu bawah umur.
RUU itu diluluskan Dewan Rakyat bulan lepas walaupun tanpa peruntukan GEG, yang menurut menteri kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Zaliha kemudiannya berkata, peruntukan GEG tersebut hanya diketepikan buat masa ini selepas pandangan Jabatan Peguam Negara diambil kira.
Katanya, pemantauan akan dilakukan secara berterusan terhadap keberkesanan RUU itu selepas ia diluluskan.