Doktor kerja berbelas jam, wajar semak semula kadar ‘on-call’, kata timbalan menteri

Doktor kerja berbelas jam, wajar semak semula kadar ‘on-call’, kata timbalan menteri

Lukanisman Awang Sauni berkata, pegawai perubatan ‘on-call’ bertugas sehingga berbelas-belas jam.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, semakan terhadap elaun ‘on-call’ bagi doktor diperlukan selain daripada gaji, imbuhan tetap dan elaun.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Kesihatan berkata beliau bersetuju semakan perlu dibuat terhadap kadar elaun RM9 sejam bagi doktor yang bertugas “on-call” pada hujung minggu.

Lukanisman berkata, semakan seperti itu diperlukan selain daripada gaji, imbuhan tetap dan pelbagai elaun memandangkan mereka bekerja untuk tempoh yang sangat lama.

Antara elaun diterima doktor adalah insentif perkhidmatan kritikal, bayaran insentif pakar, elaun pembedahan, dan elaun bertugas pegawai perubatan semasa waktu pejabat di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan.

Lukanisman menjawab soalan Dr RA Lingeshwaran di Dewan Negara, yang menyoal sama ada kadar RM9 sejam dibayar kini akan dinaikkan tahun ini.

Lingeshwaran berkata, kadar itu kurang daripada bayaran pemandu Grab, malah kadar serendah itu menyebabkan doktor beralih ke sektor swasta seterusnya menyebabkan aliran keluar kepakaran.

Lukanisman berkata: “Berkenaan elaun yang bernilai RM9 ini, walaupun memang terdapat elaun lain tetapi tempoh masa bekerja mereka ini bukan sejam dua, tetapi memakan tempoh hampir berbelas-belas jam.”

Lukanisman turut berkongsi kisah seorang pesakit yang memintanya menyampaikan ucapan terima kasih kepada pegawai perubatan.

“Beliau memberitahu ‘Saya lihat pagi tadi saya jumpa doktor itu, esok pagi pun saya jumpa doktor sama juga. Macam tak tidur, macam zombie’,” katanya.

Lukanisman berkata, pihak kementerian serius mahu menyelesaikan isu berkenaan, dan akan mencadangkan perkara yang dibangkitkan dalam libat urus kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad yang baru dilantik.

Pada November, Persatuan Perubatan Malaysia mengkritik kementerian itu kerana menolak cadangan supaya menaikkan kadar elaun kepada RM25 sejam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.