75 tahun berlalu, tragedi Batang Kali terus diingati

75 tahun berlalu, tragedi Batang Kali terus diingati

Seramai 24 penduduk Cina di Batang Kali dibunuh askar British pada 12 Dis 1948 kerana disyaki bersekongkol dengan komunis.

Ketika darurat di Tanah Melayu, rejimen Scots Guards berpangkalan di Kuala Kubu Bharu, Batang Kali. (Gambar Wikimedia)
PETALING JAYA:
Pada 12 Dis 1948, seramai 24 orang awam yang tidak bersenjata dibunuh kejam tentera British berhampiran pekan Batang Kali.

Namun lebih 70 tahun selepas kejadian itu, tragedi Batang Kali masih hanya kekal sebagai kisah sejarah samar di mata rakyat Malaysia.

Lebih menyedihkan lagi apabila mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai kejam itu sehingga kini tidak dihadapkan ke muka pengadilan atas perbuatan jenayah mereka.

Sempena ulang tahun ke-75 kejadian itu, FMT menemui Christopher Hale, sejarawan British yang pernah menulis mengenai kejadian Batang Kali.

Christopher Hale.

Bukunya Massacre in Malaya: Exposing Britain’s My Lai pada 2013 membincangkan secara terperinci pembunuhan beramai-ramai itu dan salah laku keadilan yang menyusulinya.

Hale memberitahu FMT, kejadian pembunuhan beramai-ramai Batang Kali berlaku pada awal darurat, yang melihat pihak berkuasa British bertempur dengan gerila komunis.

Katanya, pada 1948 aktiviti komunis dilaporkan di sekitar Batang Kali. “Ketika saya melawat kawasan itu pada 2012, kubur kumpulan lelaki yang dibunuh itu masih wujud,” katanya yang memberitahu askar yang terlibat adalah dari rejimen Scots Guard tentera British.

Kebanyakan maklumat yang diperoleh mengenai kejadian Batang Kali itu adalah berdasarkan pengakuan seorang anggota Scots Guard, William Cootes.

“Pada pagi 11 Dis, Cootes menyertai platun yang dikerahkan ke penempatan kecil penoreh getah Cina di estet Sungai Remok, berhampiran Batang Kali,” katanya.

Mangsa terselamat menceritakan bagaimana anggota tentera mengasingkan mangsa daripada keluarga mereka sebelum dibawa pergi dan ditembak. (Gambar Wikimedia)

Cootes kemudian mendakwa seorang pegawai diberi arahan jelas untuk “menghapuskan sesiapa yang ditemui di situ”.

Pengakuan Cootes itu sukar untuk dibaca, dan beliau antara lain menceritakan pembunuhan seorang budak lelaki oleh seorang pegawai berpangkat sarjan semata-mata kerana “sengihnya yang menjengkelkan”.

Cootes menceritakan bagaimana sarjan itu menembak budak itu di perutnya dan kepala.

Katanya, keesokannya, sekumpulan lelaki dari kampung itu dibawa ke tebing sungai dan ditembak mati, tetapi seorang daripadanya berjaya melarikan diri.

“Sebaik kami mula menembak, seolah-olah kami hilang akal… Saya masih ingat bagaimana air sungai bertukar merah akibat darah mereka,” kata Cootes.

Peguam Malaysia Quek Ngee Meng mewakili keluarga mangsa yang terselamat dalam usaha mendapat pengiktirafan oleh kerajaan British. (Gambar Christopher Hale)

Hale memberitahu FMT, pihak British sebenarnya tiada bukti langsung bahawa mereka yang dibunuh adalah komunis. “Sekalipun ada bukti, mereka bukannya bertempur.”

Usaha mendapat keadilan hanya dimulakan berdekad-dekad kemudian, selepas peguam Malaysia, Quek Ngee Meng memfailkan kes terhadap kerajaan British pada 2012.

Hale turut mendengar kenyataan saksi termasuk mangsa terselamat yang menceritakan bagaimana ahli keluarga dibunuh dan mereka terpaksa mengebumikan mayat yang hampir mereput.

Semua kisah ini mencetuskan minat Hale, dan kegagalan mangsa mendapat keadilan menerusi saluran undang-undang membuatkannya terpanggil untuk menghimpunkan apa saja maklumat yang ada mengenai kejadian itu.

Hale berkata, apa yang menyukarkan usahanya adalah semua dokumen pihak British mengenai kejadian itu telah dimusnahkan selepas kemerdekaan.

Penunjuk perasaan berlakon sebagai askar British ketika tunjuk perasaan di depan bangunan Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur pada 2008. (Gambar AFP)

Hale sebelum ini menyamakan kejadian di Batang Kali itu dengan pembunuhan beramai-ramai My Lai yang mengakibatkan kematian 300 hingga 500 orang awam oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ketika perang Vietnam pada 1968.

Katanya, perbandingan itu sesuai memandangkan kaedah perang diguna pakai British ketika era Darurat mempengaruhi AS ketika perang di Vietnam.

“Masalah dihadapi British, dan kemudian pihak Amerika, adalah kesukaran membezakan pemberontak dengan orang awam,” katanya.

“Akibatnya, dalam banyak keadaan, individu yang langsung tidak bersalah menjadi mangsa di tangan tentera – sama seperti yang berlaku di Gaza kini.”

Bagaimanapun, pihak yang bersalah di My Lai berjaya didakwa dan dihukum, sedangkan itu tidak berlaku di Batang Kali.

“Ya ia memang salah laku keadilan yang tidak lagi dapat dibetulkan, kecuali dengan mengingati mangsa tidak bersalah yang terbunuh akibat tindakan ketenteraan British.”

Buku Hale adalah satu cara untuk menarik perhatian kepada kejadian yang semakin dilupakan itu, dan memaparkan kepalsuan mengenai “kehebatan” British dalam memerangi pemberontakan ketika era itu.

“Dilihat menerusi lensa tragedi berkenaan, keseluruhan pemerintahan British di Malaya sama ada secara langsung atau sebaliknya, jelas menunjukkan pembunuhan dan penipuan berlarutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.