
Presiden PAS Hadi Awang berkata serangan ganas yang menyasarkan lokasi strategik termasuk kawasan berkaitan kepimpinan tertinggi negara jelas melanggar norma keadilan sejagat, mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatannya.
“PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Ali Khamenei atas tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah.
“Seluruh dunia perlu bersatu mengutuk AS dan Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di rantau Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut mengecam serangan terhadap Iran dan menggesa gencatan senjata dilaksanakan dan kedua-dua pihak kembali ke ke meja rundingan demi keamanan.
Katanya, serangan itu bukan sahaja terhadap sebuah negara berdaulat, malah terhadap demokrasi itu sendiri, dan jelas melanggar undang-undang serta perjanjian antarabangsa.
“Terlalu banyak penderitaan, keganasan, pertumpahan darah, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan berlaku di seluruh dunia.
“Kami berdiri teguh bersama pejuang kebebasan yang mempertahankan keadilan, demokrasi, kebebasan dan keamanan. Tiada mana-mana negara boleh menuntut dominasi dan kawalan dunia serta ekosistem politik yang menyokongnya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata pembunuhan pemimpin tertinggi sebuah negara berdaulat berserta kematian ramai orang awam di Iran, merupakan kejahatan yang melampaui batas diplomasi dan undang-undang antarabangsa.
Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan eskalasi ketegangan yang merbahaya di rantau Asia Barat, malah meletakkan keselamatan serantau dan global dalam keadaan genting.
“Saya bersama Ahli Parlimen Pembangkang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran yang kehilangan pemimpin tertinggi dan ketua negara mereka dalam serangan Israel dan AS.
“Iran sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai sepenuh hak untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyatnya sebagaimana termaktub di bawah Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.