3 ditahan tiada kaitan kes bunuh Zayn, kata polis

3 ditahan tiada kaitan kes bunuh Zayn, kata polis

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ketiga-tiga mereka ditahan kerana penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ketiga-tiga mereka didapati positif dadah ketika polis membuat saringan DNA penduduk Apartment Idaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga individu yang ditahan polis di Pangsapuri Idaman di Damansara Damai, tidak mempunyai kaitan dengan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, sebaliknya berkata ketiga-tiga mereka ditahan kerana penyalahgunaan dadah.

“Kebetulan ketika kami melakukan mass DNA screening itu, mereka positif dadah, jadi kita tahan bagi lakukan ujian air kencing untuk tindakan lanjut.

“Mereka tiada kaitan dengan siasatan ini,” katanya kepada FMT.

Ujian berkenaan dijalankan adalah sebahagian daripada ‘mass screening’ yang dijalankan membabitkan penduduk kawasan itu bagi menjejak pembunuh kanak-kanak berkenaan.

Ahad lalu, polis memaklumkan seramai 228 individu telah diambil ujian DNA membabitkan pemeriksaan unit rumah dan premis perniagaan.

Sementara itu, Hussein memaklumkan polis mengambil beberapa barangan untuk membantu siasatan selepas melakukan pemeriksaan rumah ke rumah kali kedua.

“Kita perlu analisa terlebih dahulu semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya.

Isnin lalu polis mengesyaki berkemungkinan hanya seorang individu terlibat berdasarkan petunjuk, kesan jerutan dan pergelutan ditemui di tubuh mangsa berusia enam tahun itu.

Hussein berkata, beliau tidak mahu proses siasatan melibatkan sebarang spekulasi dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis menumpukan pelaksanaan tugas berdasarkan fakta kes.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis dan ditemui meninggal dunia dalam anak sungai keesokannya, kira-kira 200m dari blok kediamannya di apartmen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.