Bekas pegawai polis bebas tuduhan ubah wang haram

Bekas pegawai polis bebas tuduhan ubah wang haram

Bekas pegawai berpangkat DSP itu bebas selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan semakannya terhadap hukuman penjara 10 tahun, denda RM42 juta.

Mahkamah membenarkan permohonan bekas pegawai berpangkat DSP berusia 60 tahun itu hari ini. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini membebas dan melepaskan seorang bekas pegawai kanan polis daripada lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta.

Panel tiga hakim diketuai Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan selepas membenarkan permohonan bekas pegawai berpangkat DSP berusia 60 tahun, Mohd Ismail Syed Merah untuk menyemak satu lagi keputusan Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta terhadapnya bagi semua pertuduhan.

Menurut laporan Bernama, Vazeer dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Ismail.

“Oleh itu, kami mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebas dan melepaskan dia (Mohd Ismail) terhadap semua pertuduhan,” kata hakim itu yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Hakim Vazeer turut mengarahkan wang RM3.35 juta yang dirampas, dilucuthakkan kepada kerajaan kerana ia hasil aktiviti haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 22 Mac 2022, panel hakim Mahkamah Rayuan yang berbeza menolak rayuan Mohd Ismail terhadap sabitan dan hukumannya.

Bagaimanapun, mahkamah menambah hukuman penjaranya daripada empat tahun kepada 10 tahun dan memerintahkannya membayar denda RM42 juta atau penjara 48 bulan jika gagal melunaskan denda itu, selepas membenarkan rayuan balas pendakwaan.

Mohd Ismail didakwa atas lima pertuduhan pertama menggunakan wang yang diperoleh daripada aktiviti menyalahi undang-undang, melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000, masing-masing untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takafullife dan Pelan Takafulink yang didaftarkan di bawah nama anak perempuannya.

Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan melakukan pengubahan wang haram, membabitkan RM499,620 dan RM29,950, menggunakan akaun pihak ketiga milik Tan Kim Tee.

Mohd Ismail dituduh melakukan kesalahan itu di Bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak, Johor Bahru dan di dua premis bank iaitu RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat, Johor antara 4 Sept 2014 dan 28 Dis 2015.

Mohd Ismail menghadapi pertuduhan kelapan iaitu memiliki RM1.27 juta dan 8,178,000 rupiah di rumahnya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Pada 2019, Ismail dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas semua pertuduhan pengubahan wang haram. Bagaimanapun pada 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Mohd Fairuz Johari mewakili pendakwaan.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Mohd Ismail berkata anak guamnya, yang bersara pada Mei lepas berhak mendapat pencen, gajinya sebelum ini serta elaun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.