
Presiden Pusat Pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun, berkata ujian air kencing di sekolah berkemungkinan membawa kepada peningkatan penyingkiran atau pelajar cicir.
Katanya, pelajar didapati terlibat penyalahgunaan dadah kebiasaannya dibuang atau berdepan tindakan disiplin.
“Pelajar yang menyalahgunakan dadah akan melakukan apa yang termampu untuk mengelak ujian itu. Tidak hadir ke sekolah menjadi pilihan mudah bagi mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, rasa malu selepas diuji positif tidak menggalakkan pelajar berkenaan mendapatkan bantuan dan mereka mungkin beralih kepada bahan yang tidak dapat dikesan dalam ujian air kencing biasa.
Pada 19 Nov, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perak, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melaksanakan program saringan air kencing di sekolah bagi mengekang pembabitan pelajar terlibat dadah.
Pengerusinya, Azlan Helmi dilaporkan berkata, pendekatan digunakan bukan untuk menghukum tetapi mahu menyelamatkan dan membawa mereka kembali ke pangkal jalan.
Bagaimanapun, Charles Hector Fernandez dari Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), berkata ujian air kencing akan menjejaskan reputasi sekolah.
“Ibu bapa juga akan dilihat sebagai ‘teruk’, menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang ada masalah dadah,” katanya.
Peguam hak asasi manusia itu, berkata mana-mana pihak berkuasa yang hendak menjalankan ujian air kencing terhadap kanak-kanak perlu terlebih dulu mendapatkan “persetujuan” daripada ibu bapa atau waris.
“Ya, ujian air kencing dibenarkan, namun ia hanya boleh dilakukan apabila timbul kecurigaan munasabah bahawa individu itu mengambil dadah.
“Apabila membabitkan kanak-kanak, ia tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran ibu bapa atau waris,” katanya.
Pengesanan awal
Fouzi Singon dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, berkata usaha kerajaan melaksanakan program pencegahan awal menerusi ujian air kencing tidak boleh dilihat sebagai negatif.
Beliau berkata, pengesanan awal boleh menyelamatkan remaja sekolah daripada berterusan terlibat penggunaan dadah kerana pihak keluarga akan dimaklumkan sekiranya anak mereka dikesan positif.
“Kaunseling juga boleh disediakan. Ia hanya menjadi isu apabila ibu bapa atau keluarga anak itu enggan menerima bahawa anak mereka didapati positif dadah,” katanya.