Rosol nafi bakal sokong PM

Rosol nafi bakal sokong PM

Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, dakwaan tular di WhatsApp itu bertujuan menggugat kesepaduan Perikatan Nasional.

Rosol Wahid berikrar tetap teguh dan taat setia meneruskan perjuangan Perikatan Nasional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid menafikan dakwaan tular di WhatsApp beliau bakal mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu menyifatkan dakwaan tersebut berniat jahat dan bertujuan menggugat kesepaduan serta menjatuhkan imej Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian kepada mana-mana pihak, terutama media.

“Pendirian saya tetap teguh dan kekal taat setia bersama rakan pemimpin lain meneruskan perjuangan dalam PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp tangkap layar laporan sebuah portal berita bertajuk “Sokong PM: Rosol akan keluar kenyataan esok” yang menggambarkan Rosol seolah-olah akan menjadi wakil rakyat PN terbaharu menyokong Anwar.

Rosol berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa tujuh atau lapan lagi wakil rakyat PN dari beberapa negeri akan menyuarakan sokongan kepada perdana menteri dalam masa terdekat, tetapi beliau tidak mendedahkan sama ada mereka dari PAS atau Bersatu.

Pada 28 Nov lalu, Syed Abu Hussin mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau ialah wakil rakyat pembangkang kelima yang menyuarakan sokongan kepada Anwar, selepas Zahari Kechik (Jeli), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.