7 atau 8 Ahli Parlimen PN akan isytihar sokong PM, dakwa Syed Hussin

7 atau 8 Ahli Parlimen PN akan isytihar sokong PM, dakwa Syed Hussin

Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata semua Ahli Parlimen PN dari beberapa negeri itu akan mengisytiharkan sokongan dalam tempoh terdekat.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa terdapat beberapa lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa terdapat tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Syed Abu Hussin mendakwa semua Ahli Parlimen PN adalah dari beberapa negeri namun tidak mendedahkan sama ada mereka dari PAS atau Bersatu.

“Dulu saya kata ada lima atau enam orang, (tetapi) sekarang ini ada tujuh atau lapan orang. Nama saya tak boleh maklumkan di sini.

“Tunggu masa dan lihat, akan ada pengumuman mereka yang akan menyokong Kerajaan Madani,” katanya pada sidang medianya di Puchong, menurut Harian Metro.

Beliau turut mendakwa, sebahagian daripada Ahli Parlimen berkenaan ada berhubung dengannya berhubung perkara itu.

“Ada yang berhubung dengan saya, ada yang berhubung dengan orang lain,” katanya.

Pada 28 Nov lalu, beliau mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan kerajaan Madani ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata beliau bersedia berdepan dengan tindakan Bersatu kerana menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Katanya, beliau tidak melanggar peraturan Bersatu kerana di dalam perlembagaannya, tidak melarang sesiapa memberikan sokongan kepada mana-mana pihak.

“Apa yang saya buat ini tidak melanggar perlembagaan parti. Kalau parti nak mengambil tindakan, ia akan bawa ke Jawatankuasa Disiplin.

“Jawatankusa Disiplin akan memutuskan apa bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil (dan) saya bersedia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.